Hakam adalah satu kaedah yang berlandaskan hukum syarak yang diberi kuasa dalam memutuskan sama ada pertikaian tersebut akan diselesaikan dengan cara perdamaian atau perceraian. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti aplikasi hakam sebagai salah satu kaedah perceraian dan menganalisa implikasi hakam terhadap kes perceraian yang diputuskan. Kajian ini adalah merupakan kajian eksplorasi dan induktif yang menggunapakai data kualitatif. Data primer bagi kajian ini adalah data dari dokumen berkaitan hakam, iaitu laporan kes-kes hakam yang diputuskan di Mahkamah Syariah di Selangor. Data ini dianalisa menggunakan kaedah analisa dokumen, dengan pembinaan tema yang bersesuaian bagi menjawab objektif kajian. Kajian ini mendapati bahawa, aplikasi hakam adalah terhad kepada kes-kes perceraian yang tidak mendapat kerjasama atau persetujuan dari kedua pihak atau dalam keadaan telah berlaku shiqaq di antara mereka. Oleh kerana perceraian yang diputuskan oleh hakam adalah merupakan talaq ba’in sugra, maka, implikasinya adalah rujuk tidak terpakai kepada suami dan isteri tersebut. Keputusan perceraian oleh hakam juga tidak boleh dirayu, bersifat muktamad dan mengikat pihak-pihak yang bertikai. Rayuan hanya boleh dibuat apabila terdapat kecacatan dari sudut prosiding sahaja. Kaedah hakam ini juga akan meringankan bebanan yang ditanggung oleh isteri dalam pertikaian seperti penjimatan kos prosiding. Namun, kaedah hakam sebagai salah satu kaedah perceraian alternatif yang dijalankan di Mahkamah Syariah masih baharu dan memerlukan penambahbaikan, terutamanya dari sudut perundangan substantif dan prosedur berkenaan hakam.
Real Time Impact Factor:
0.03333
Author Name: Mumtazah Narowi, Noor Fadhzana Mohd Noor, Siti Amalina Ahmad Khairundin
URL: View PDF
Keywords: Pertikaian perkahwinan, Arbitrasi, Selangor
ISSN:
EISSN: 2672-7463
EOI/DOI:
Add Citation
Views: 1